POWER IMPIAN

Jana Pendapatan Sekarang!

Sunday, October 17, 2010

Kisah Sebenar Orang Berhutang 2

Sambungan dari Kisah Sebenar Orang Berhutang 1 - Selepas berkahwin dengan Balqis, Kamarul membawa isterinya ke Kuala Lumpur dan mereka menyewa rumah teres setingkat dengan kadar sewa sebanyak RM 600 sebulan.
Seperti kebiasaan pada setiap pasangan baru berkahwin, terdapat banyak kekurangan yang perlu disediakan bagi keselesaan hidup berdua.
Semasa bujang dia banyak menggunakan televisyen, mesin basuh dan peralatan lain yang dimiliki oleh rakan-rakan serumah. Selain daripada keretanya, harta bujangnya adalah sebuah radio. Rumah Kamarul sunyi sepi, sekiranya dahulu balik dari tempat kerja, dia dapat menonton televisyen. Tetapi kini, selepas sembahyang Isyak, mereka terus masuk tidur.
Tidak sampai seminggu, dia pulang dengan sebuah TV berjenama 29 inci. Hatinya puas apabila melihat senyuman Balqis yang sedang menonton drama kegemarannya itu. Setiap hari dia terpaksa membeli lauk dan sayur-sayur kerana dia tidak mempunyai peti sejuk bagi menyimpannya.
Akhirnya dia membeli sebuah peti sejuk yang besar dan selesailah sudah satu lagi masalahnya. Semasa bujang, dia menghantar pakaiannya ke kedai dobi, kini pakaiannya dibasuh di lantai bilik air yang sempit. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia membawa pulang sebuah mesin basuh automatik yang dapat memuat muatan sehingga 7 kilogram.
"Sayang, comforter pun kita boleh basuh dengan mesin ini, tidak payah lagi hendak hantar kedai dobi." Kamarul memberitahu isteri kesayangannya. "Mana abang dapat duit beli semua ini? Abang dapat bonus, ya?" tanya si isteri. Kamarul menjawab sambil tersenyum, "Alah, abang ambil di Court, bayar ansur-ansur. "
"Kalau macam itu, boleh tak abang ambil microwave satu, senang lauk sejuk boleh kita panas, tahan lama sikit, tak payah buang." Balqis meminta. "Yelah sayang, nanti hujung minggu ini kita pergi ambil." Setiap kali ada jualan murah, Kamarul mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga yang murah.
Kamarul sudah tidak lagi membayar semua perbelanjaannya melalui hutang kad kredit. Dia hanya membuat bayaran minimum kad kredit setiap kali menerima gaji. Pada masa ini dia sudah mulai mempunyai hutang kad kredit.
Semasa di tempat kerja, seorang rakan menegur, "Kamarul, engkau sudah buka e-mel?", tanya si Man. "Kenapa Man? Boss declare bonus ke ?". Biji mata Kamarul hampir terkeluar apabila membaca e-mel daripada pihak pengurusan yang tertera 2.5. Dalam hatinya. "Ni bukan 1 bulan tapi 2.5 bulan." Muka Kamarul berubah berseri-seri . "Wow, banyak ni, orang kaya barulah kita."
Tips: Tengok baki yang perlu anda bayar, dengan anggapan bahawa anda membayar setiap bulan tanpa ada yang tertunggak.
Sejak duit bonus sudah masuk ke dalam akaun semalam, Kamarul tidak dapat duduk diam. Dia asyik terkenangkan duit bonus itu. Akhirnya dia menjual keretanya dan membeli kereta 1.6 Automatik. Seperti biasa, bayar duit pendahuluan serendah yang mungkin dan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga maksimum.
Enam bulan selepas berkahwin, Kamarul membawa isterinya ke klinik pakar. Betapa gembiranya apabila doktor memberitahu isterinya mengandung. Setiap bulan Kamarul membawanya ke klinik pakar bagi memastikan kesihatan kandungan isterinya. Klinik ini menerima pembayaran melalui kad kredit.
Apabila sampai waktu bersalin, Kamarul memilih hospital swasta demi keselesaan isteri tercinta melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mengambil pakej tiga hari dua malam yang berharga RM 2,500 bagi bersalin secara normal. Akhirnya isterinya melahirkan anak lelaki yang comel seberat 3.2 kilogram melalui pembedahan Caesaran.
Kamarul menggunakan salah satu kad kreditnya bagi membayar kos hospital yang berjumlah RM4,863.50. Daripada lampin sehinggalah ke susu, semuanya berjenama dan berkualiti demi puteranya pewaris keturunan. Kamarul berjaya mendapat kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat gergasi dengan gaji permulaan RM3,900.
Bagi meraikannya, dia membawa isteri dan anaknya makan besar di sebuah restoran makanan Jepun. Pembayaran dibuat dengan menggunakan kad kredit berjumlah RM 258.70. Sudah tujuh tahun dia tinggal di rumah sewa dengan isteri dan anaknya.
Sudah tiga kali dia berpindah, dari rumah teres setingkat tiga bilik sehinggalah rumah teres dua tingkat empat bilik. Daripada sewa RM 600 sehinggalah kini dia membayar RM1,000 sebulan. Terdetik juga di hatinya, "Sampai bila aku nak hidup dengan menyewa?" Dia pergi ke bank menanyakan jumlah pembiayaan bagi sebuah rumah teres satu tingkat yang berharga RM 130,000.
Alangkah terkejutnya apabila mendapati dia layak membuat pinjaman membeli rumah yang cantik, besar dan mahal. Apa lagi, dia pun membeli sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM 176,000 dengan ansuran sebanyak RM1,233 selama 30 tahun. Semasa rumah sedang dalam pembinaan, dia membayar RM 700 sebulan bagi faedah selama dua tahun.
Akhirnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak pemaju perumahan menyerahkan anak kunci rumah idamannya tiga bulan lebih awal daripada yang termaktub dalam perjanjian jual beli. Banyak juga barang yang tidak dibawa bersama ke rumah baru ini. Peti sejuk, mesin basuh dam sofa yang sudah usang tidak terkecuali disenaraikan dalam barangan yang akan dibuang.
Kamarul dan Balqis ingin memastikan mereka sekeluarga berpindah ke rumah baru dengan gembira dan selesa. Apa tidaknya, daripada sofa sehinggalah katil anak-anaknya, semuanya baru.
Dengan 'Skim Bayaran Mudah', Kamarul dapat mengambil barangan bernilai hampir RM 15,000 dan hanya perlu membayar RM 419 setiap bulan secara ansuran selama 5 tahun. Harga barang asyik meningkat, belum cukup bulan duit sudah habis.
Bermula pada saat itu, Kamarul mula berjinak-jinak dengan kad kredit. Sekiranya dahulu kad kredit digunakan bagi membayar petrol kereta, kini bayaran servis kereta, bil telefon, bil elektrik sehinggalah barangan dapur semuanya dibayar dengan kad kredit.
Setiap kali mendapat gaji, Kamarul memastikan pembayaran minimum dibuat bagi setiap kad kredit yang dimilikinya. Kamarul dan Balqis sangat gembira semasa menyambut kelahiran anaknya yang keempat. Akhirnya Kamarul menukar lagi keretanya dengan membeli sebuah MPV yang berharga RM 100,000 lebih. Memang cantik, besar, selesa, dan kuasa enjinnya pula adalah 2.5cc.
Dia menggunakan duit lebihan dari kereta 1.6 Automatiknya yang dijual. Ansuran bulanan hanyalah RM1,271 bagi tempoh 9 tahun. Lagipun dia baru menerima kenaikan gaji sebanyak 5% (gaji baru RM4090).
Pada suatu hari, berita memaparkan kenaikan minyak sebanyak 30 sen seliter bagi petrol. Perbelanjaan petrolnya sudah meningkat tetapi tidak dirasainya kerana pembayaran dibuat menggunakan kad kredit. Sehingga kini, dia masih tidak tahu berapa jumlah yang dibelanjakannya bagi minyak keretanya setiap sebulan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails